Sunday, November 27, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (1)

WARKAH DI ANGIN LALU
(Tangisan di kesepian malam)

Untuk isteri abang yang tersayang dan masih sangat-sangat abang rindui, diiringi segugus doa semoga Nisah senantiasa diselimuti-Nya dengan manik-manik cahaya ketenangan yang membahagiakan di taman peristirehatanmu nun di sebalik lapisan-lapisan langit yang tinggi.

Nisah, baru beberapa detik abang melangkah masuk ke istana kecil yang pernah kita huni bersama ini, sekembali abang dari mengunjungi pusaramu, sekali lagi hati abang dipagut rasa rindu yang amat mendalam terhadapmu, sayang. Walau hampir setahun berlalu sudah sejak Nisah dijemput-Nya pergi meninggalkan kami semua, namun sarat rindu yang abang tanggung ini tetap tidak pernah surut dari kolam hati abang. Puas abang berikhtiar mencari lorong-lorong ke arah memadamkan gelora rindu ini, atau setidak-tidaknya yang dapat meredakan kehangatan rasa rindu itu, namun ia
tetap sia-sia.

Selama ketiadaan Nisah, hari demi hari abang singgah ke tempat persemadianmu sepulang abang dari pejabat, dengan harapan keberadaan abang di situ dapat meleraikan gumpalan-gumpalan rindu abang pada Nisah. Di sisi pusara Nisah itulah abang luahkan segala kedukaan abang saban hari. Tidakkah Nisah mendengar segala rintihan hati abang, sayang? Tidakkah Nisah mahu segera memimpin tangan abang untuk meniti keluar daripada kesepian abang ini?

 Setiap kata yang abang bisikkan padamu di situ hanya disambut dengan hembusan bayu petang, yang seolah-olah mengalunkan irama lagu yang pernah menjadi kegemaran kita bersama suatu waktu dulu. Lagu itu jugalah yang mendorong abang mengguris warkah ini buatmu, yang akan abang terbangkan di angin lalu dengan harapan ia akan melayang ke ribaanmu, sayang.

Nisahku sayang, kehadiran anak kita Puteri Asmara merupakan hadiah paling berharga dari Nisah kepada abang, sebagai mercu percintaan kita berdua. Namun, dia tidak dapat mengubati rasa rindu abang pada Nisah, walaupun wajah comel darah daging kita itu salin tak tumpah raut wajah manis ibunya. Abang berasa begitu kehilangan tanpa Nisah di sisi. Sebuah kehilangan yang tidak mungkin lagi dapat dicari galang gantinya!

Siapa menduga Nisah akan pergi buat selama-lamanya, ketika Nisah melahirkan Puteri Asmara ke dunia yang fana ini. Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Rupa-rupanya kebahagiaan yang Allah teteskan ke atas kita berdua hanyalah sedetik cuma. Sayang sayang buah kepayang, buah kepayang hendak dimakan, manusia hanya boleh merancang, kuasa Allah yang menentukan.

Aduhai kasihku Nisah, kehidupan ini memang penuh dengan seribu kemungkinan yang telah ditakdirkan Tuhan. Benar, tidak seorangpun di antara kita hamba-hamba-Nya yang tahu akan rezeki, jodoh dan saat ajal maut masing-masing. Abang sedar bahawa diri Nisah dipinjamkan kepada abang hanya buat sementara. Abang redha dengan ketentuan Allah, sayang. Tetapi kenapa Nisah harus diambil-Nya kembali di saat-saat Nisah melahirkan Puteri Asmara?

Nisah sayang, abang tidak sanggup lagi tinggal di istana kecil kita ini. Sejak kepergianmu, setiap sudut rumah ini mengingatkan abang padamu. Setiap sudut menerpakan memori-memori lama yang kita lalui  bersama sebagai suami isteri yang saling mencintai. pada saat-saat bahagia yang kita kecapi bersama sebagai suami isteri yang saling mencintai. Sebingkai demi sebingkai kenangan lama itu tergambar dalam kolam ingatan abang. Terngiang-ngiang suara derai tawa Nisah pada waktu-waktu kita bergurauan dulu. Terbayang-bayang jari-jemari halus Nisah mengusap-usap rambut abang di pembaringan, saat abang menangisi kepergian ibu abang.

Nisahku yang dirindui selalu, rasanya abang tidak mampu berdiri untuk melupakan kenangan-kenangan lama itu. Rasanya abang tidak berupaya menempuh dengan teguh sisa-sisa hidup ini, sendirian membesarkan dan menuntun masa depan anak kita Puteri Asmara, yang tentunya mendahagakan sangat belaian kasih sayang seorang ibu. Seandainya Nisah mendengar rintihan abang ini, berilah abang ilham bagaimana dapat abang mengatasinya ketika Nisah muncul lagi dalam mimpi abang nanti malam.

Yang cintanya padamu tidak pernah padam... 
ABANG.