Friday, December 23, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (5)

Nisahku sayang, yang sentiasa berada di serambi hati abang.

Salam kasih bersalut rindu yang harumnya melebihi kasturi dari abang dan dari cahaya mata kita yang satu-satunya, Puteri.

Nisah, entah bagaimana abang harus mulakan warkah abang kali ini. Tetapi apa pun, kalaulah Nisah dapat menatap warkah abang ini dari balik nun langit yang jauh, janganlah Nisah bosan membaca ukiran demi ukiran kata-kata yang mengungkapkan segala sedu sedan dan tumpahan rasa kehilangan yang bergelegak di dalam sanubari abang.

Ini, saat jari-jari abang menari-narikan pena di atas kertas biru ini sambil mencurahkan segala perasaan dan kerinduan abang yang menggunung buat Nisah, hati dan mata abang bergerimis. Setitis demi setitis jatuh membasahi warkah ini.

Maafkan abang, sayang. Abang gagal memenuhi janji yang abang lafazkan pada Nisah di sisi pembaringanmu dalam rumah sakit dulu, bahawa abang tidak akan meneteskan lagi air mata duka selepas Nisah tiada lagi di dunia ini. Percayalah sayang, puas sudah abang mengajar jiwa ini agar menerima semua yang terjadi dengan redha dan tabah.

Namun, air mata abang seolah-olah tidak mahu berhenti mengalir keluar dari takungannya yang sarat sejak kepergian Nisah menyahut panggilan-Nya, persis air yang mengalir dan mengalir dan terus mengalir turun dengan deras dari gunung selepas bumi ditimpa hujan yang sangat lebat.

Sampai bilakah abang akan melayari hidup begini, Nisah?

Sampai bilakah abang akan menutup mata ini dari menatap cerahnya matahari di pagi hari? Bilakah abang akan memperolehi daya kekuatan untuk dapat mengusir segala kesepian dan kesedihan ini?
 
Sedang Nisah sebagai penghuni Syurga di sana menghirup air telaga Kautsar yang tentu begitu menyenangkan, abang di dunia yang fana ini masih dalam kedahagaan yang amat sangat. Abang sentiasa mendahagakan keberadaan Nisah di samping abang dan Puteri seperti waktu dulu, walaupun abang tahu itu tidak akan berlaku.

Nisah, seandainya Nisah bertanya kepada abang, sedalam mana abang cintakan Nisah, inilah jawapan abang: Kalau Nisah kehilangan sepasang mata, abang akan memberi sepasang mata abang, agar Nisah dapat melihat semula. Meskipun untuk itu abang harus buta buat selama-lamanya.

Kalau Nisah kehilangan suara, abang akan memberi suara abang, agar Nisah dapat bersuara semula. Meskipun untukmitu, abang harus bisu buat selama-lamanya.

Dan kalau Nisah kehilangan hati, abang akan memberi hati abang, agar Nisah dapat hidup untuk selama-lamanya. Meskipun untuk itu, abang tiada lagi di dunia ini. Begitulah dalamnya cinta abang kepada Nisah. Seumur hidup ini abang mencintai Nisah.

Setakat di sini dulu, sayang. Si Puteri sudah mulai menangis.

Abang harus pergi dulu membancuh susu untuknya. Memang sejak hendak tumbuh gigi, Puteri sering menangis malam.

Sehingga kita bersua dan bercanda lagi dalam mimpi abang dan mimpi Puteri malam nanti, salam bersalut rindu di angin lalu.

ABANG  

Wednesday, December 14, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (4)

Nisahku sayang, yang beristirehat dengan tenang dan nyaman nun di sebalik lapisan-lapisan langit yang terbentang luas.

Saat abang menulis warkah yang kesekian kalinya ini buatmu, abang merenung jauh menembusi jendela di hadapan meja tulis pemberian Nisah ini semasa hayatmu dulu. Merenung nun ke dada langit  malam yang ditaburi bintang berkerdipan. Merenung sesuatu yang yang dicetuskan Mak Su dan Pak Su tempoh hari. Sesuatu yang membuat abang rindu serindu-rrndunya pada Nisah.

Abang rasa abang harus khabarkan kepadamu tentang hasrat Mak Su dan Pak Su untuk mencarikan seorang pengganti dirimu di sisi abang, mengambil tempatmu sebagai ibu kepada Puteri, cahaya mata kita yang satu-satunya. Mereka melahirkan kebimbangan melihat abang dan Puteri terus-terusan menyusuri sisa-sisa hidup ini tanpa terurus, seperti biduk tak berkemudi hanyut di lautan terbantang luas yang seakan-akan tidak bertepi 

Sejak itu abang dalam keresahan, Nisah. Alasan apakah lagi yang harus abang berikan kepada Mak Su dan Pak Su, sayang? Dulu, ketika pertama kali mereka membisikkan hasrat mereka itu, abang kata bahawa tanah di pusaramu masih merah. Masih basah dengan air mata abang yang tertumpah di situ.

Apabila disuguh lagi dengan bayangan yang sama tidak lama kemudian, abang berdalih lagi kepada mereka bahawa anak-anak rumput yang menyelimuti sekujur tanah persemadianmu  bak permaidani hijau itu masih terlalu baru dan belum segar.

Ah, tentu Nisah tahu. Semua itu adalah alasan cuma. Mak Su dan Pak Su pun berasa begitu
barangkali, malah mereka ingin mengetahui sama ada abang meredhakan atau tidak kepergianmu, sayang. Abang redha Nisah. Abang redha Nisah dijemput-Nya pergi mendahului abang. Siapalah kita di sisi Tuhan untuik mempertikaikan takdir dan ketentuan-Nya. Jodoh pertemuan dan ajal adalah urusan-Nya.

Seandainya hati abang ini kembali terbuka dan abang ditakdirkan dipertemukan dengan jodoh lagi, biarlah dia seorang Muslimah yang sebaik Nisah budi pekertinya dan yang mampu menjadi semacam obor yang menyuluh perjalanan abang menuju cita-cita, dan yang maha penting bagi abang ialah dia menerima, membelai dan mengasihi Puteri sebagai anak kandungnya sendiri.

Tetapi abang masih dicengkam seribu keraguan, Nisah.

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk dimiliki oleh orang lain?

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk menyayangi orang lain?

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk meneguk  kebahagiaan bersama orang lain?

Hati abang sudah kau bawa pergi, Nisah, meninggalkan abang terdampar di lembah kerinduan dan kesepian yang memanjang.

Sudah sekian lama abang cuba menanggalkan kesepian yang merantai diri ini.

Puas sudah abang cuba benamkan kerinduan yang menyelimuti hidup ini. Entah berapa kali pula abang berikhtiar memadamkan segala ingatan pada Nisah, namun semuanya sia-sia belaka., sayang. Kenangan bersamamu masih subur mewangi, sayang.

Saban malam ketika mengatup mata di sudut pembaringan, Nisah masih setia berada di minda abang. Setiap kali abang terjaga ketika fajar mula merangkak tiba di ufuk timur, bayangan wajahmu tetap bertandang di depan mata. Terngiang-ngiang terdengar suara manja Nisah menyanyi-nyanyi lagu syahdu meskipun abang menutup rapat telinga ini.  

Ya sayang, Nisah sentiasa ada di setiap sudut dan belahan hidup abang, baik dalam lena mahupun jaga, seperti udara yang abang hela. Cinta abang padamu tidak akan terkulai, seperti sang suria yang pasti wujud hari demi hari demi hari, biarpun Nisah kini tiada lagi di alam yang fana ini.

Sampai ketemu lagi dalam mimpi abang nanti malam, salam berbalut  rindu di angin lalu.

ABANG.

Tuesday, December 6, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (3)

Ke pangkuan isteriku Nisah tersayang,

Ini entah kali yang ke berapa abang curahkan jeritan hati abang ke warkah
bersalut rindu ini buat Nisah yang sedang berteduh dengan nyaman di bawah
pohon-pohon kasturi yang semerbak dan rindang, nun jauh di sebalik langit yang terbentang luas. Semoga Nisah di sana sentiasa meneguk kebahagiaan yang abadi di bawah naungan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Amin.

Siang tadi abang berada di sisi pusaramu bersama-sama Puteri, permata hati kita yang semakin membesar, tepat pada masa yang abang janjikan pada kunjungan abang yang lalu, Nisah. Dan abang merasakan sesuatu yang aneh berlaku dalam kunjungan abang kali ini. Ya, ketika abang berjalan masuk menggendong Puteri menuju ke tempat persemadianmu, pohon-pohon yang menghiasi kawasan pusara tiba-tiba melambai-lambaikan dahan dan rantingnya yang diselimuti dedaunan hijau, persis menari-nari dengan lembut tetapi riang, dielus bayu yang berhembus perlahan-lahan.

Kemudian apabila abang dan Puteri tiba di kuburan Nisah, sekawan burung beraneka warna terbang datang entah dari mana, lalu seekor demi seekor menghinggap di atas batu-batu nisan di sekeliling sambil berkicau-kicauan, melagukan rentetan irama yang menggugah kalbu. Abang tak tahu gerangan lagu yang dinyanyikan mereka secara berpadu itu. Cukup sendu tetapi  merdu.

Ya Nisah, segala-gala yang berada di situ siang tadi seakan-akan mengalu-alukan  kunjungan abang dan anak kecil kita ke pusaramu, sayang. Abang tergamam seketika sewaktu si Puteri tiba-tiba tertawa kecil, riang sekali... mendengar kecauan beburung di sekeliling kami berdua. Seolah-olah ada sesuatu yang mengagahnya... yang mencuit tangkai hati kecilnya, seperti yang sering dilakukan Mak Su setiap kali berkunjung ke rumah.

Apakah itu Nisah sendiri yang mengagah-agah anak kita, sayang? Mungkinkah si Puteri dapat melihat kehadiran ibu kandungnya di situ siang tadi?

Telatah si Puteri itulah yang meretakkan tebing kolam air mata abang, lalu runtuh seluruhnya dan mengalir membasahi pipi suamimu yang memang masih sarat dalam duka ini. Di saat itu juga, langit yang tadinya cerah, bertukar redup dan seolah-olah ikut menitiskan air mata  apabila ia menggugurkan setitis demi setitis gerimis.  

Si Puteri yang tadinya kelihatan riang, terdiam dan mendongak tepat ke arah wajah abang yang sedang meneteskan air mata ketika itu. Seandainya anak kecil itu dapat berkata-kata, barangkali dia akan bertanya; “Kenapa papa menangis, papa?" atau  mungkin “Papa, kenapa papa selalu berendam air mata? Papa terkenang mama, ya papa?"

Maafkan abang, sayang. Abang gagal memenuhi janji yang abang lafazkan pada Nisah di sisi pembaringanmu dalam rumah sakit dulu, bahawa abang tidak akan meneteskan lagi air mata duka selepas Nisah tiada lagi di dunia ini. Percayalah sayang, puas sudah abang mengajar jiwa ini agar menerima semua yang terjadi dengan redha dan tabah.

Namun, air mata abang seolah-olah tidak mahu berhenti mengalir keluar dari takungannya yang sarat sejak kepergian Nisah, persis air yang mengalir dan mengalir dan terus mengalir turun dengan deras dari gunung selepas bumi ditimpa hujan yang sangat lebat.

Setiap kali memori lama bersama Nisah itu menerpa ruang ingatan abang, setiap itulah sekujur tubuh abang dicengkam rasa sepi yang amat sangat… seperti seorang pengembara yang kehilangan arah tuju dalam belantara tebal lagi gelap, meraba-raba untuk mencari cahaya yang dapat memimpinnya meniti jalan keluar.

Mujurlah ada si Puteri di sisi untuk menemani dan menceriakan dunia abang. Dialah yang menjadi sumber kekuatan abang untuk meneruskan perjuangan melayari hidup yang tidak menentu ini. Insya-Allah, abang akan tunaikan janji abang yang satu lagi kepada Nisah, iaitu untuk melaksanakan tanggungjawab membesarkan Puteri dengan penuh kasih sayang dan sesempurna mungkin.

Sekian dulu buat kali ini, Nisah. Abang tetap akan menantimu dalam mimpi abang dan mimpi Puteri malam nanti.

ABANG.

Friday, December 2, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (2)

Sayangku Nisah yang abang rindui,

Pak Su dan Mak Su baru sahaja berangkat pulang. Tinggal  abang dan puteri kita sendirian lagi di istana yang kosong ini , mengharungi lembah malam yang sepi buat sekian kalinya sejak Nisah pergi. Kini Puteri sudahpun jauh melayari lautan mimpi yang penuh misteri, selepas dia didodoi manja oleh Mak Su. Pantun lagu dendangan orang tua itu penuh bererti, Nisah:

Tidurlah sayang, tidurlah Puteri
Usah mengenang ibu yang pergi
Esok ninda ke mari lagi
Meneman cucunda sepanjang hari.

Nisahku sayang, setiap hari yang abang lalui belum sempurna rasanya tanpa abang akhiri dengan mengguriskan sepucuk warkah berbalut rindu buat Nisah. Sang jengkerik tidak akan bernyanyi-nyanyi mengajak abang ke alam mimpi selagi abang tidak tuangkan bisikan hati abang ke atas kertas-kertas bisu ini buat Nisah.

Di sini abang perlu memberitahu Nisah bahawa abang pandang tinggi dan hormati Pak Su. Sebelum bersembang panjang lebar bersamanya petang tadi, abang  tidak pernah menduga bahawa Pak Su seorang tua yang bijak menenunkan kata-katanya  bagaikan ahli falsafah yang bijak bistari, terutama tentang kehidupan di dunia yang fana ini. Rupa-rupanya, diam-diam Pak Su, sebenarnya diam-diam berisi, Nisah.

Benar kata orang, jangan menilai sesebuah buku itu berdasarkan kulit depannya.
Beliaulah juga manusia pertama yang abang perdengarkan dengan sebebas-bebasnya segala rintihan dan kedukaan yang berbeku dalam kolam rasa dan tangkai hati abang selama Nisah pergi meninggalkan kami. Terkadang, kita dapat merasakan bahawa seseorang itu dengan jujur menaruh simpati terhadap kita hanya dengan cara orang itu mendengar pengaduan kita.

Ah, terngiang-ngiang ungkapan Pak Su pada abang tadi siang. Katanya  antara lain ialah hidup bukan merupakan satu beban yang harus dipikul, tetapi ia merupakan satu anugerah untuk dinikmati… kehidupan ini, katanya, tidak menjanjikan kebahagiaan sepanjang masa. Kadangkala manusia diasak dengan pelbagai dugaan dan ujian, dan kepergian Nisah yang secara tiba-tiba merupakan suatu ujian bagi abang, katanya.

Ya, abang sedar semua itu, Nisah. Abang akui bahawa hidup ini bukanlah suatu lorong yang mendatar dan ditaburi bunga sepanjang jalan. Abang insaf bahawa ada kalanya hidup ini disirami airmata dan darah. Abang percaya akan ketentuan Ilahi, pada qada dan qadar. Dialah yang Maha Pencipta, yang mengendalikan seluruh alam dan mengatur segala kejadian serta takdir manusia.

Abang juga akur dengan kata-kata Pak Su bahawa jika nun dari lapisan-lapisan langit sana Nisah dapat menjenguk keadaan abang sekarang, Nisah pasti marah pada abang. Katanya, Nisah tentu tidak mahu abang terus-terusan menjalani hidup begini rupa, siang dan malam bergelumang dalam lautan kedukaan yang tidak bertepi.

Tetapi Nisah, dengan siapa abang harus menikmati hidup ini? Bagaimanakah abang harus teruskan sandiwara hidup yang pernah kita lakonkan bersama ini? Sedangkan watak utamanya, iaitu Nisah, telah pergi meninggalkan pentas dunia ini buat selama-lamanya. Bagaimanakah harus abang menjelajah belantara kehidupan ini tanpa ada Nisah lagi sebagai bintang penyuluh jalan?

Tidak kuat rasanya abang meneruskan perjalanan yang panjang di depan abang ini dengan berbekal separuh hati sahaja, Nisah. Yang separuh lagi  hati abang telah Nisah bawa ke liang lahad, berkalang tanah pusara. Ya, abang tinggal di dunia ini dengan hati yang separuh lagi.

Sayangku, Nisah. Terlalu rindu hati yang tinggal separuh ini untuk berbual denganmu, mendakapmu, membelai-belai rambutmu seperti dulu , sambil membisikkan ke telingamu lagu kegemaran kita bersama.

Muncullah lagi dalam mimpi abang malam ini untuk memberi abang ilham.

ABANG