Friday, December 23, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (5)

Nisahku sayang, yang sentiasa berada di serambi hati abang.

Salam kasih bersalut rindu yang harumnya melebihi kasturi dari abang dan dari cahaya mata kita yang satu-satunya, Puteri.

Nisah, entah bagaimana abang harus mulakan warkah abang kali ini. Tetapi apa pun, kalaulah Nisah dapat menatap warkah abang ini dari balik nun langit yang jauh, janganlah Nisah bosan membaca ukiran demi ukiran kata-kata yang mengungkapkan segala sedu sedan dan tumpahan rasa kehilangan yang bergelegak di dalam sanubari abang.

Ini, saat jari-jari abang menari-narikan pena di atas kertas biru ini sambil mencurahkan segala perasaan dan kerinduan abang yang menggunung buat Nisah, hati dan mata abang bergerimis. Setitis demi setitis jatuh membasahi warkah ini.

Maafkan abang, sayang. Abang gagal memenuhi janji yang abang lafazkan pada Nisah di sisi pembaringanmu dalam rumah sakit dulu, bahawa abang tidak akan meneteskan lagi air mata duka selepas Nisah tiada lagi di dunia ini. Percayalah sayang, puas sudah abang mengajar jiwa ini agar menerima semua yang terjadi dengan redha dan tabah.

Namun, air mata abang seolah-olah tidak mahu berhenti mengalir keluar dari takungannya yang sarat sejak kepergian Nisah menyahut panggilan-Nya, persis air yang mengalir dan mengalir dan terus mengalir turun dengan deras dari gunung selepas bumi ditimpa hujan yang sangat lebat.

Sampai bilakah abang akan melayari hidup begini, Nisah?

Sampai bilakah abang akan menutup mata ini dari menatap cerahnya matahari di pagi hari? Bilakah abang akan memperolehi daya kekuatan untuk dapat mengusir segala kesepian dan kesedihan ini?
 
Sedang Nisah sebagai penghuni Syurga di sana menghirup air telaga Kautsar yang tentu begitu menyenangkan, abang di dunia yang fana ini masih dalam kedahagaan yang amat sangat. Abang sentiasa mendahagakan keberadaan Nisah di samping abang dan Puteri seperti waktu dulu, walaupun abang tahu itu tidak akan berlaku.

Nisah, seandainya Nisah bertanya kepada abang, sedalam mana abang cintakan Nisah, inilah jawapan abang: Kalau Nisah kehilangan sepasang mata, abang akan memberi sepasang mata abang, agar Nisah dapat melihat semula. Meskipun untuk itu abang harus buta buat selama-lamanya.

Kalau Nisah kehilangan suara, abang akan memberi suara abang, agar Nisah dapat bersuara semula. Meskipun untukmitu, abang harus bisu buat selama-lamanya.

Dan kalau Nisah kehilangan hati, abang akan memberi hati abang, agar Nisah dapat hidup untuk selama-lamanya. Meskipun untuk itu, abang tiada lagi di dunia ini. Begitulah dalamnya cinta abang kepada Nisah. Seumur hidup ini abang mencintai Nisah.

Setakat di sini dulu, sayang. Si Puteri sudah mulai menangis.

Abang harus pergi dulu membancuh susu untuknya. Memang sejak hendak tumbuh gigi, Puteri sering menangis malam.

Sehingga kita bersua dan bercanda lagi dalam mimpi abang dan mimpi Puteri malam nanti, salam bersalut rindu di angin lalu.

ABANG  

No comments:

Post a Comment