Wednesday, January 4, 2012

WARKAH DI ANGIN LALU (6)

Nisahku sayang, bunga kasihku yang tidak pernah pudar dalam segala musim, dan cintaku yang tetap utuh lagi mewangi walaupun dilambung dengan ganas oleh gelombang kehidupan. Istirahatlah Nisah di sana dengan penuh ketenangan dan kedamaian.

Sekalung doa abang panjatkan kehadirat-Nya, semoga Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan meninggikan darjat Nisah, mengasihimu, menyayangimu dan menganugerahkan tempat yang lapang disisi-Nya, untukmu kekasihku sayang.

Sesungguhnya Tuhan adalah Maha Berkehendak lagi Maha Mengetahui segala sesuatu yang kita, manusia, tidak ketahui. Allah Taala telah mentakdirkan kita hidup bersama sebagai suami isteri di atas dunia ini selama setahun dua sahaja, kekasihku sayang. Tetapi insya-Allah, semoga Allah Taala meredhakan cinta suci kita berdua dan memberikan abang dan Nisah kesempatan untuk kembali bersama-sama lagi, di hari kemudian nanti, di alam yang lebih kekal dan abadi. Ameen.

Sebenarnya Nisah, sebentar tadi abang berasa begitu payah sekali untuk mula mengukirkan kata-kata dalam warkah abang yang kesekian kalinya ini. Fikiran abang tiba-tiba beku, seperti bungkah air batu di Khutub Utara. Tangan yang memegang pena ini seakan-akan kaku seperti patung batu. Bulan dan bintang-bintang yang diharapkan memberi abang ilham untuk merakamkan suara dari lubuk jantung ini yang paling dalam buat Nisah, tidak menjenguk di langit malam yang kelam.

Ya sayang, segala-gala di luar jendela rumah kita ini seakan-akan dibekukan oleh kegelapan malam yang menghitam pekat lagi merantaikan ini. Kegelapan malam ini seolah-olah mencerminkan kekelaman dunia abang sejak Nisah pergi ke sisi-Nya, meninggalkan kami semua di sini.

Pergi ke tempat yang begitu jauh. Tempat yang saat ini belum waktunya abang dipanggil-Nya untuk ikuti Nisah.

 Entahlah Nisah, mungkin bulan dan bintang bersembunyi di sebalik tabir cakerawala kerana menangis. Barangkali bulan dan bintang-bintang berasa malu untuk menunjukkan sebak melihat langit tidak henti-henti mencurahkan air matanya sepanjang hari, bagaikan insan yang sangat
berduka atas kehilangan orang tercinta.

Nisah sayang, apakah Nisah bahagia di sana? Abang yakin dan percaya bahawa  Nisah sentiasa mengecapi kebahagiaan di sisi-Nya di sana.

Kalau boleh, abang  tidak mahu mengganggu kebahagiaan Nisah denganterus menyesali kepergianmu,  tidak mahu mengganggu kebahagiaan Nisah dengan air mata abang. Tapi apa  'kan daya abang, air mata ini membasahi pipi setiap kali abang menari-narikan jari jemari lesu abang
di atas kertas biru ini.

Nisah, ketahuilah bahawa setiap kali rindu datang menerpa, abang akan buka laci meja tulis ini dan menarik keluar buku catatan Nisah. Buku catatan Nisah itulah antara pusaka peninggalanmu yang amat berharga buat abang. Abang suka membaca  berkali-kali puisi demi puisi karangan
Nisah yang terukir dalam buku itu. Terhibur hati abang sejenak. Abang berasa seolah-olah Nisah betul-betul hadir di sisi abang pada ketika itu. Abang rasa getaran kehadiran Nisah di dalam jiwa abang.

Yang paling menyentuh tangkai jantung abang ialah sekuntum puisi yang Nisah sulamkan khas untuk abang menjelang pernikahan kita. Abang petik sebahagian daripada puisi itu, dengarlah:

seluruh jiwa kupersembahkan untukmu,
sepenuh cintaku merindukanmu,

seperti cahaya hadirmu di duniaku,
seperti ribuan bintang menghujam jantungku,

kau membuatku merasakan indahnya jatuh cinta
takkan pernah ada yang lain di sini,

segenap jiwaku hanya untukmu,
takkan mungkin ada yang lain di sisiku,

ingin kau ada di sini habiskan sepi,
bersamamu hingga akhir waktu.

Nisahku sayang, orang tidak tahu bahawa cinta kita adalah lebih hebat dari cinta Laila dan Majnun. Tidak akan ada sesiapa yang akan mencatat kisah cinta kita berdua untuk dijadikan sebuah novel. Bahkan, beberapa tahun akan mendatang, orang-orang yang pernah mengenali kita berdua
mungkin akan melupakan bahawa kita, Nisah dan abang, pernah wujud dan merenangi lautan cinta yang hangat. Tetapi, tidak mengapalah, sayang, asalkan mereka yakin bahawa cinta sejati itu masih wujud.

Sekian dahulu buat kali ini, sayang. Percayalah, suatu hari nanti, abang juga pasti akan menyusulmu, Nisah, menyusulmu ke tempat yang Nisah berada saat ini.

Yang Selalu Merindu,
ABANG.

1 comment:

  1. salam..cerita ni sungguh menyayat hati..semoga sabar..Allah ambik org yang kita sayang kerana Allah sayang..dan Allah nak memberi pahala yang banyak kepada tuan..sabarlah.semoga ada kebaikan yg baik atas segalanya..wslam.

    ReplyDelete