Wednesday, January 25, 2012

WARKAH DI ANGIN LALU (7)

Nisah yang amatku sayangi,

Entah bagaimana pula kali ini harus abang mula mengukir kata-kata untuk mengungkapkan segala sedu sedan dan rasa rindu yang menggunung di dalam kamar hati ini. Tetapi, seandainya Nisah baca warkah abang di angin lalu ini, anggaplah abang ada di hadapanmu dan menangis sambil mengucup dahi bersihmu, sebagaimana abang bayangkan Nisah berada di hadapan abang setiap kali abang menulis kepada Nisah.

Nisahku yang dirindui,

Malam tadi cukup istimewa bagi abang sejak Nisah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Malam tadi Nisah muncul dalam mimpi abang! Nisah kelihatan  sangat elok dan bercahaya. Abang lihat sang rembulan di atasmu, dan abang pandang antara Nisah dengan rembulan berganti-ganti, namun Nisah abang lihat lebih indah,  bahkan bintang-bintang pun tidak dapat menandingi parasmu, isteriku tersayang!

Belum reda rindu abang pada Nisah, tiba-tiba abang terjaga. Tetapi, yang anehnya, hilang segala rasa sedih dari lubuk hati abang yang sekian lama ditenggelami sebak.  Sejuk perasaan abang, lalu abang
terus sujud syukur kepada-Nya, kerana dipertemukan kembali dengan Nisah, sekalipun dalam alam mimpi.

Pagi tadi, seisi rumah kita tampak bermandi cahaya. Kemilau. Benderangnya luar biasa. Bauan yang semerbak mewangi pula menyelimuti segenap ceruk rumah. Abang kehairanan, Nisah, kerana wanginya tidak dapat abang gambarkan dengan kata-kata. Belum pernah abang terhidu wangi-wagian seharum itu. Saki-baki minyak wangi berjenama peninggalan Nisah dalam botol-botol di atas meja solek di rumah kita pun tidak seharum ini.

Puteri pun kelihatan luar biasa kerenahnya sebaik-baik saja mencelik mata awal subuh tadi. Anak kita yang satu-satunya itu tidak menangis meminta disusui seperti yang biasa dilakukannya setiap pagi sebelum ini. Sebaliknya, Puteri kedengaran ketawa dengan nada begitu ceria, seolah-olah dia sedang bermain-main mesra dengan seseorang yang disayanginya dan diagah-agah!

Apakah erti semuanya ini, Nisah?

Apakah Nisah benar-benar telah menziarahi rumah kita dan bukan sekadar dalam mimpi malam hari? Nisah datang untuk menjenguk Puteri dan abang, dengan membawa bersama-samamu cahaya yang sangat indah serta bau-bauan wangi dari Taman Firdausi? Benarkah Nisah? Benarkah, sayangku?

Mahu rasanya abang ceritakan semua yang berlaku ini kepada Pak Su dan Mak Su apabila mereka berkunjung ke sini lagi esok hari. Tetapi, abang bimbang, sayang. Pasti mereka tidak akan percaya, malah pasti akanmentertawakan abang. Mana mungkin insan yang telah wafat boleh kembali ke dunia yang fana ini. Begitulah barangkali yang akan diungkapkan mereka.

Ya, isteriku tersayang. Walaupun Nisah sudah berada di tempat yang jauh nun di sebalik lapisan langit yang tinggi, bagi abang, Nisah tidak mati! Nisah tetap hidup dan bernafas dalam setiap sudut kehidupan abang. Nisah bernafas dalam fikiran abang, dalam mata abang, dalam relung hati abang, dalam mimpi abang dan di bibir abang, sayang.

Aduhai, rindu abang pada Nisah bukanlah keinginan untuk bermesra dan memadu kasih. Tetapi, abang rindukan suasana beribadah bersamamu seperti dulu. Abang berasa cukup bahagia setiap kali kita berdua solat berjamaah, abang di depanmu sebagai imam dan Nisah makmum di belakang abang. Selepas solat Nisah mencium tangan abang, lalu kita sama-sama meminta maaf dan bertukar-tukar pandangan. Ah, abang rindukan itu semua, abang rindukan saat-saat itu, Nisahku sayang.

Akhir kata, salam peluk cium di angin lalu buat Nisah dari abang dan Puteri.

ABANG.

No comments:

Post a Comment