Friday, December 2, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (2)

Sayangku Nisah yang abang rindui,

Pak Su dan Mak Su baru sahaja berangkat pulang. Tinggal  abang dan puteri kita sendirian lagi di istana yang kosong ini , mengharungi lembah malam yang sepi buat sekian kalinya sejak Nisah pergi. Kini Puteri sudahpun jauh melayari lautan mimpi yang penuh misteri, selepas dia didodoi manja oleh Mak Su. Pantun lagu dendangan orang tua itu penuh bererti, Nisah:

Tidurlah sayang, tidurlah Puteri
Usah mengenang ibu yang pergi
Esok ninda ke mari lagi
Meneman cucunda sepanjang hari.

Nisahku sayang, setiap hari yang abang lalui belum sempurna rasanya tanpa abang akhiri dengan mengguriskan sepucuk warkah berbalut rindu buat Nisah. Sang jengkerik tidak akan bernyanyi-nyanyi mengajak abang ke alam mimpi selagi abang tidak tuangkan bisikan hati abang ke atas kertas-kertas bisu ini buat Nisah.

Di sini abang perlu memberitahu Nisah bahawa abang pandang tinggi dan hormati Pak Su. Sebelum bersembang panjang lebar bersamanya petang tadi, abang  tidak pernah menduga bahawa Pak Su seorang tua yang bijak menenunkan kata-katanya  bagaikan ahli falsafah yang bijak bistari, terutama tentang kehidupan di dunia yang fana ini. Rupa-rupanya, diam-diam Pak Su, sebenarnya diam-diam berisi, Nisah.

Benar kata orang, jangan menilai sesebuah buku itu berdasarkan kulit depannya.
Beliaulah juga manusia pertama yang abang perdengarkan dengan sebebas-bebasnya segala rintihan dan kedukaan yang berbeku dalam kolam rasa dan tangkai hati abang selama Nisah pergi meninggalkan kami. Terkadang, kita dapat merasakan bahawa seseorang itu dengan jujur menaruh simpati terhadap kita hanya dengan cara orang itu mendengar pengaduan kita.

Ah, terngiang-ngiang ungkapan Pak Su pada abang tadi siang. Katanya  antara lain ialah hidup bukan merupakan satu beban yang harus dipikul, tetapi ia merupakan satu anugerah untuk dinikmati… kehidupan ini, katanya, tidak menjanjikan kebahagiaan sepanjang masa. Kadangkala manusia diasak dengan pelbagai dugaan dan ujian, dan kepergian Nisah yang secara tiba-tiba merupakan suatu ujian bagi abang, katanya.

Ya, abang sedar semua itu, Nisah. Abang akui bahawa hidup ini bukanlah suatu lorong yang mendatar dan ditaburi bunga sepanjang jalan. Abang insaf bahawa ada kalanya hidup ini disirami airmata dan darah. Abang percaya akan ketentuan Ilahi, pada qada dan qadar. Dialah yang Maha Pencipta, yang mengendalikan seluruh alam dan mengatur segala kejadian serta takdir manusia.

Abang juga akur dengan kata-kata Pak Su bahawa jika nun dari lapisan-lapisan langit sana Nisah dapat menjenguk keadaan abang sekarang, Nisah pasti marah pada abang. Katanya, Nisah tentu tidak mahu abang terus-terusan menjalani hidup begini rupa, siang dan malam bergelumang dalam lautan kedukaan yang tidak bertepi.

Tetapi Nisah, dengan siapa abang harus menikmati hidup ini? Bagaimanakah abang harus teruskan sandiwara hidup yang pernah kita lakonkan bersama ini? Sedangkan watak utamanya, iaitu Nisah, telah pergi meninggalkan pentas dunia ini buat selama-lamanya. Bagaimanakah harus abang menjelajah belantara kehidupan ini tanpa ada Nisah lagi sebagai bintang penyuluh jalan?

Tidak kuat rasanya abang meneruskan perjalanan yang panjang di depan abang ini dengan berbekal separuh hati sahaja, Nisah. Yang separuh lagi  hati abang telah Nisah bawa ke liang lahad, berkalang tanah pusara. Ya, abang tinggal di dunia ini dengan hati yang separuh lagi.

Sayangku, Nisah. Terlalu rindu hati yang tinggal separuh ini untuk berbual denganmu, mendakapmu, membelai-belai rambutmu seperti dulu , sambil membisikkan ke telingamu lagu kegemaran kita bersama.

Muncullah lagi dalam mimpi abang malam ini untuk memberi abang ilham.

ABANG


No comments:

Post a Comment