Wednesday, December 14, 2011

WARKAH DI ANGIN LALU (4)

Nisahku sayang, yang beristirehat dengan tenang dan nyaman nun di sebalik lapisan-lapisan langit yang terbentang luas.

Saat abang menulis warkah yang kesekian kalinya ini buatmu, abang merenung jauh menembusi jendela di hadapan meja tulis pemberian Nisah ini semasa hayatmu dulu. Merenung nun ke dada langit  malam yang ditaburi bintang berkerdipan. Merenung sesuatu yang yang dicetuskan Mak Su dan Pak Su tempoh hari. Sesuatu yang membuat abang rindu serindu-rrndunya pada Nisah.

Abang rasa abang harus khabarkan kepadamu tentang hasrat Mak Su dan Pak Su untuk mencarikan seorang pengganti dirimu di sisi abang, mengambil tempatmu sebagai ibu kepada Puteri, cahaya mata kita yang satu-satunya. Mereka melahirkan kebimbangan melihat abang dan Puteri terus-terusan menyusuri sisa-sisa hidup ini tanpa terurus, seperti biduk tak berkemudi hanyut di lautan terbantang luas yang seakan-akan tidak bertepi 

Sejak itu abang dalam keresahan, Nisah. Alasan apakah lagi yang harus abang berikan kepada Mak Su dan Pak Su, sayang? Dulu, ketika pertama kali mereka membisikkan hasrat mereka itu, abang kata bahawa tanah di pusaramu masih merah. Masih basah dengan air mata abang yang tertumpah di situ.

Apabila disuguh lagi dengan bayangan yang sama tidak lama kemudian, abang berdalih lagi kepada mereka bahawa anak-anak rumput yang menyelimuti sekujur tanah persemadianmu  bak permaidani hijau itu masih terlalu baru dan belum segar.

Ah, tentu Nisah tahu. Semua itu adalah alasan cuma. Mak Su dan Pak Su pun berasa begitu
barangkali, malah mereka ingin mengetahui sama ada abang meredhakan atau tidak kepergianmu, sayang. Abang redha Nisah. Abang redha Nisah dijemput-Nya pergi mendahului abang. Siapalah kita di sisi Tuhan untuik mempertikaikan takdir dan ketentuan-Nya. Jodoh pertemuan dan ajal adalah urusan-Nya.

Seandainya hati abang ini kembali terbuka dan abang ditakdirkan dipertemukan dengan jodoh lagi, biarlah dia seorang Muslimah yang sebaik Nisah budi pekertinya dan yang mampu menjadi semacam obor yang menyuluh perjalanan abang menuju cita-cita, dan yang maha penting bagi abang ialah dia menerima, membelai dan mengasihi Puteri sebagai anak kandungnya sendiri.

Tetapi abang masih dicengkam seribu keraguan, Nisah.

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk dimiliki oleh orang lain?

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk menyayangi orang lain?

Sekeping hati yang sudah Nisah miliki ini, masihkah punya hati lagi untuk meneguk  kebahagiaan bersama orang lain?

Hati abang sudah kau bawa pergi, Nisah, meninggalkan abang terdampar di lembah kerinduan dan kesepian yang memanjang.

Sudah sekian lama abang cuba menanggalkan kesepian yang merantai diri ini.

Puas sudah abang cuba benamkan kerinduan yang menyelimuti hidup ini. Entah berapa kali pula abang berikhtiar memadamkan segala ingatan pada Nisah, namun semuanya sia-sia belaka., sayang. Kenangan bersamamu masih subur mewangi, sayang.

Saban malam ketika mengatup mata di sudut pembaringan, Nisah masih setia berada di minda abang. Setiap kali abang terjaga ketika fajar mula merangkak tiba di ufuk timur, bayangan wajahmu tetap bertandang di depan mata. Terngiang-ngiang terdengar suara manja Nisah menyanyi-nyanyi lagu syahdu meskipun abang menutup rapat telinga ini.  

Ya sayang, Nisah sentiasa ada di setiap sudut dan belahan hidup abang, baik dalam lena mahupun jaga, seperti udara yang abang hela. Cinta abang padamu tidak akan terkulai, seperti sang suria yang pasti wujud hari demi hari demi hari, biarpun Nisah kini tiada lagi di alam yang fana ini.

Sampai ketemu lagi dalam mimpi abang nanti malam, salam berbalut  rindu di angin lalu.

ABANG.

No comments:

Post a Comment